Friday, May 25, 2012

Matangkah kita dalam berpolitik??

Assalamualaikum dan salam sejahtera, diharapkan saudara sekalian sihat sejahtera dan berbahagia dalam rahmat Allah, dalam entri kali ini hamba ingin berbicara tentang situasi semasa rencah politik negara kita. mungkin tuan hamba sekalian sudah sedia maklum, dalam situasi pasca Bersih 3.0 dan Bersih 2.0 serta pra pilihan raya umum yang akan datang, suasana politik negara kita semakin meriah, meriah dengan kontroversi dan persepsi. politik negara kita seakan hingar bingar. tambah menghangatkan suasana dengan debat ptptn antara Khairy Jamaluddin, ketua pemuda UMNO dan juga saudara Rafizi dari Parti Keadilan Rakyat. hamba tidak ingin mngulas lanjut perihal debat ini, kerana tuan hamba boleh menilai sendiri berdasarkan hujah yang disampaikan oleh para pendebat. debat boleh ditonton di sini:  http://www.ustream.tv/recorded/22776957 






Harus dimaklumkan, hamba bukanlah orang arif untuk benar-benar membentangkan perihal selok belok politik yang berlangsung di negara kita ini, sekadar memberi pandangan dari kaca mata seorang rakyat marhaen yang terpanggil untuk berkongsi buah fikiran. Hakikatnya hamba hanyalah seorang pelajar, bercakap lebih maka ditahan dibawah akta AUKU lah hamba.^^,.


Dalam kerancakan orang kita berpolitik, hamba kadang-kadang terfikir sejauh mana kematangan orang kita dalam berpolitik?. politik bukan sekadar berteriak nama parti, bukan sekadar menghadiri rapat umum sesebuah parti dan taksub melulu pada pemimpin sesebuah parti, bukan juga sekadar berarak membawa sepanduk dan menggantung bendera-bendera parti di tiang-tiang lampu!. berpolitik memerlukan lebih daripada itu, berpolitik harus datang bersama ilmu. satu hal yang cukup menyedihkan dan memualkan apabila melihatkan adik-adik yang baru belasan tahun, dengan megahnya berbicara tentang politik, sedangkan hujah yang disampaikan berdasarkan andaian semata-mata tanpa sebarang fakta dan bukti. lebih mnyedihkan, sesetengah pelajar dijadikan sebagai "online trooper" oleh sesebuah parti politik untuk menjadi agen penyebar berita buruk tentang parti lawan. cukup meloyakan!. Sudah pasti berpolitik memerlukan kematangan, kematangan dalam menerima perbezaan, "kita bersetuju untuk tidak bersetuju" menghormati pendirian dan pandangan orang lain, bukan merasa hanya diri sendiri yang betul.


Berdasarkan buku "negara dalam syariat islam" karya Dr. Abdul Karim Zaidan..Politik dari sudut bahasa yang mudah untuk difahami menurut sebahagian ilmuwan adalah melaksanakan sesuatu dengan memastikan kebaikan pada perkara itu. Manakala dari sudut kemasyarakatan bermaksud mengurus secara bijaksana dan pandangan dengan analisis yang tajam terhadap kesan sesuatu tindakan. Ia juga membawa makna sekumpulan hal ehwal urusan yang berkaitan dengan pentadbiran negara. Politik juga dapat diertikan sebagai satu kegiatan ummah menyokong dan mendokong usaha melaksanakan syariat untuk merealisasikan Islam yang syumul dapat dipraktikkan melalui sebuah institusi yang menjadi penerajunya. 



Harus diingatkan bahawa mafhum politik adalah lebih luas daripada hanya berpolitik secara kepartian. Berpolitik secara kepartian hanyalah satu wasilah daripada banyak wasilah lain yang akan menyampaikan kepada maksud politik yang lebih luas itu. Adalah satu perkara yang mengaibkan apabila kebanyakan orang Islam khususnya orang Melayu terperangkap dengan definisi yang sempit ini sehingga menghabiskan banyak masa, tenaga, buah fikiran dan menambahkan jurang perbezaan sesama Muslim sedangkan matlamat asal politik itu semakin jauh dari jangkauan. Kebanyakan ahli masyarakat tidak lagi melihat politik dari sudut ilmu dan falsafah sebenarnya tetapi lebih terpengaruh dengan tindakan dan gelagat ahli-ahli politik yang mewarnai iklim berpolitik tanah air. Berpolitik sering difahami dan dilatari dengan perebutan kuasa, pertikaman lidah, tuduh menuduh, gelar menggelar dan sebagainya.

Hamba sendiri merasa risau dengan perkembangan semasa politik kita iaitu  pertembungan aliran politik Melayu antara aliran Islamis dan nasionalis akan menjerumuskan mereka menggunakan pendekatan aliran falsafah Machiavelli iaitu matlamat menghalalkan sebarang cara (ends justify the means).Perkembangan mutakhir ini menjelmakan wajah-wajah Melayu yang lebih mesra dengan kehendak orang bukan Islam baik di pihak pemerintah mahupun pembangkang. hal ini mungkin dikatakan sebagai bersifat asabiah, tapi hamba lebih senang berpegang pada definisi asabiah yang digunakan oleh Rasulullah, menerusi hadis baginda SAW: "Seorang lelaki (ayah perempuan yang meriwayatkan hadith) bertanya: Wahai Rasulullah, adakah dianggap asabiah, puak orang yang sayang kepada kaum bangsanya? Jawab Baginda saw: Tidak, tetapi asabiah adalah apabila seorang itu menolong bangsanya kepada kezaliman. (Riwayat Abu Daud, Ibn Majah dan sebagainya). Imam Al-Munawi ketika mensyarahkan perkataan asabiah lalu berkata: "Iaitu membantu kezaliman…" (rujuk Aun Al-Ma'bud)

Adapun tentang kecintaan terhadap sesuatu bangsa, Rasulullah saw sendiri ada menegaskan mengenai kecintaan terhadap bangsa Arab sebagaimana dalam hadis: "Kecintaan terhadap bangsa Arab itu adalah (tanda) keimanan dan kebencian kepada mereka adalah (tanda) kemunafiqan (Imam Al-Hakim berkata: Hadis ini sahih walaupun tidak diriwayatkan oleh Imam Al-Bukhari dan Muslim.)

Oleh itu, hamba ingin sekali menyeru agar kita lebih matang dalam berpolitik kerana masa depan sesebuah negara tidak wajar diukir dengan cara politik kotor dan kebudak-budakan. berpolitik adalah hak individu, namun harus diingat setiap hak harus datang bersama tanggungjawab!!. Kearah Malaysia sebuah negara maju dan berintegriti. sekian, Assalamualaikum.

No comments:

Post a Comment